PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia hari ini menyerahkan lima unit basikal elektrik (e-bike) kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) di Kompleks PPj di sini.
Presdien Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim dalam ucapan berkata, sumbangan yang diberikan itu dapat meningkatkan perkhidmatan perbandaran di wilayahnya yang juga merupakan bandar rasmi kerajaan.
“Tinjauan penguatkuasa PPj juga boleh ditukarkan kepada e-bike sekali gus menyokong aspirasi teknologi hijau Putrajaya di samping menjimatkan kos termasuk pembelian kenderaan penguatkuasa.
“Sejak tahun 2010, PPj telah melaksanakan usaha-usaha ke arah menjadikan Putrajaya bandar perintis Teknologi Hijau,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Basikal Elektrik daripada SEDA Malaysia.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Ir. Dr. V. Sanjayan; Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Omairi Hashim dan pegawai-pegawai kanan PPj serta SEDA Malaysia. – WILAYAHKU