Image module

Biojisim ditakrifkan sebagai bahan bukan fosil sama ada berasal dari tumbuhan, haiwan dan mikro organisma yang termasuk tetapi tidak terhad kepada produk-produk organik terbiodegradasi yang terhasil dari sisa dan buangan dari industri pertanian dan sisa kumbahan perbandaran yang berasal dari Malaysia.

 

Tenaga elektrik boleh dijana dengan membakar sumber biojisim. Pembakaran biojisim menghasilkan pelepasan yang sama seperti pembakaran bahan api fosil.

 

Namun, tumbuhan bagi sumber biojisim dapat memerangkap gas karbon dioksida ke udara, maka sumbangan bersih kitaran tahap karbon dioksida ke atmosfera global adalah sifar. Walaupun bahan api fosil berasal dari biojisim kuno, ianya tidak dianggap sebagai biojisim berdasarkan definisi yang diterima umum kerana ianya mengandungi karbon yang sudah lama dan terkeluar dari kitaran karbon. Oleh itu, pembakaran bahan api fosil memberi impak terhadap kandungan karbon dioksida di atmosfera.

SUMBER-SUMBER BIOJISIM

Berikut adalah jenis-jenis sumber biojisim yang boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi:

 

Kayu dan bahan buangan kayu: Kayu merupakan bahan biojisim yang paling biasa digunakan. Sejak dari dahulu, kayu digunakan sebagai bahan api untuk memasak dan pemanasan. Bahkan pada masa ini, kayu merupakan bahan biojisim bagi sumber tenaga utama di kebanyakan negara membangun.

 

Dedaun Tumbuhan: Di tempat-tempat yang dipenuhi dengan tanaman, akan banyak daun jatuh dari pepohon. Daun ini akan dikeringkan untuk dijadikan serbuk dan diubah menjadi kepingan yang mana boleh digunakan sebagai bahan bakar biojisim untuk menjana haba atau arus elektrik.

 

Sisa pertanian: sumber biojisim boleh diperolehi daripada sisa bahan buangan dari ladang . Sisa ternakan juga boleh digunakan untuk menghasilkan gas metana.

 

Sisa pepejal perbandaran (MSW) yang juga disebut sisa pepejal bandar. Bahan buangan ini merangkumi sisa domestik dan kadangkala terdapat penambahan sisa komersil yang dipungut oleh sesuatu kawasan perbandaran tertentu. Sisa-sisa ini adalah dalam bentuk pepejal atau separa pepejal dan secara amnya tidak termasuk sisa berbahaya industri. Istilah sisa baki adalah berkaitan dengan sisa yang ditinggalkan dari sumber isi rumah yang mengandungi bahan-bahan yang belum diasingkan atau dihantar untuk diproses semula.

  • Sisa terbiodegradasi: sisa makanan dan dapur, sisa hijau, kertas.
  • Bahan yang boleh dikitar semula: kertas, kaca, botol, tin, logam, plastik tertentu, dll.
  • Sisa lengai: sisa pembinaan dan pembongkaran, kotoran, batu, serpihan.
  • Sisa komposit: sampah pakaian dan sampah plastik.
  • Sisa berbahaya domestik (juga disebut "sisa berbahaya isi rumah") & sisa toksik: ubat-ubatan, cat, bahan kimia, mentol, tiub pendarfluor, tin-tin semburan, bekas baja dan racun perosak, bateri, pengilat kasut.

TEKNOLOGI-TEKNOLOGI PENUKARAN BIOJISIM

Bahan api biojisim boleh ditukar kepada tenaga haba dan elektrik dengan menggunakan teknologi dan proses yang sama dengan bahan api fosil. Pada masa ini, penjanaan tenaga elektrik dari biojisim adalah melalui pembakaran secara langsung. Teknologi pembakaran untuk penjanaan tenaga elektrik dan penghasilan haba adalah sama dengan kebanyakan loji janakuasa yang menggunakan bahan api fosil. Bahan api biojisim dibakar di dalam dandang untuk menghasilkan wap bertekanan tinggi. Wap bertekanan tinggi ini dimasukkan ke dalam turbin stim yang mana akan disalur ke rangkaian bilah turbin dan menyebabkan turbin berputar. Turbin ini disambungkan ke penjana elektrik dan seterusnya menghasilkan tenaga elektrik. Teknologi tersebut telah digunakan secara komersil. Teknologi dandang pembakaran boleh didapati dalam pelbagai rekabentuk dan bergantung kepada penggunaan serta ciri-ciri biojisim. Teknologi pembakaran biojisim di loji janakuasa adalah sama ada menggunakan sistem grate atau fluidize bed bagi memberikan pembakaran yang lengkap.

 

Seperti arang batu, biojisim boleh menjadi bahan api yang sukar diuruskan kerana ia berbentuk pepejal. Dengan menukar biojisim menjadi gas, ianya boleh menjadi satu rangkaian tenaga yang lebih meluas.Sebagai contoh, gas bersumberkan biojisim boleh dibakar secara langsung untuk tenaga haba atau memasak, ditukarkan kepada tenaga elektrik atau mekanikal (melalui alat penukaran sekunder seperti enjin pembakaran dalaman), atau digunakan sebagai gas sintetik bagi menghasilkan bahan api atau bahan kimia yang berkualiti tinggi seperti hidrogen atau metanol. Pengegasan berfungsi dengan memanaskan biojisim yang mana bahan pepejal akan terurai untuk membentuk gas yang mudah terbakar. Gas tersebut akan dibersihkan dan disaring untuk menyingkirkan sebatian kimia yang berbahaya. Gas dapat digunakan dalam sistem penjanaan tenaga yang lebih efisien yang disebut kitaran gabungan, yang menggabungkan turbin gas dan turbin wap untuk menghasilkan arus elektrik.