Mekanisma Tarif Galakan (FiT) di Malaysia mewajibkan Pemegang Lesen Pengagihan (PLP) untuk membeli daripada Pemegang Kelulusan Galakan (PKG) tenaga elektrik yang dijana daripada sumber-sumber boleh baharu pada kadar tarif galakan yang telah digazetkan. PLP akan membayar tenaga boleh baharu yang disambung ke grid elektrik untuk jangka masa tertentu. Dengan menjamin akses ke grid dan menetapkan harga yang menguntungkan untuk per unit tenaga boleh baharu, mekanisme FiT memastikan bahawa tenaga boleh baharu menjadi pelaburan jangka panjang yang kukuh untuk syarikat dan juga individu.

TERMINOLOGI UTAMA DALAM TARIF GALAKAN :

  • Pemegang Lesen Pengagihan: Syarikat-syarikat yang memiliki lesen untuk mengagihkan elektrik (TNB, SESB, NUR).
  • Pemegang Kelulusan Galakan: Individu atau syarikat yang memegang sijil kelulusan galakan yang dikeluarkan oleh SEDA Malaysia. Pemegangnya layak menjual tenaga boleh baharu pada kadar FiT.
  • Kadar FiT: Kadar premium tetap yang perlu dibayar untuk setiap unit tenaga boleh baharu yang dijual kepada Pemegang Lesen Pengagihan. Kadar FiT adalah berbeza untuk sumber tenaga boleh baharu yang berbeza dan kapasiti yang dipasang. Bonus Kadar FiT berlaku apabila kriteria syarat-syarat bonus dipenuhi.
  • Sumber Tempatan: Sumber boleh baharu mestilah datang dari dalam Malaysia dan tidak diimport dari negara-negara lain.
  • Tempoh: Tempoh di mana tenaga elektrik yang dijana daripada sumber boleh baharu dijual kepada pemegang lesen pengagihan pada kadar premium tetap. Pada masa ini, semua permohonan FiT yang telah diluluskan (tanpa mengira jenis sumber TBB) akan dibayar FiT selama 21 tahun bagi penjanaan TBB di bawah system FiT. Hanya FiAH yang telah menerima kelulusan kuota Biogas sebelum 28 Januari 2019 dan kuota Biomas sebelum 23 Disember 2019 akan dibayar FiT untuk tempoh selama 16 tahun.