KUALA LUMPUR, 9 Sept – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, menerusi program ‘Tautan Kasih’ agensi itu menyumbang bungkusan barangan keperluan asas kepada Rumah Sejahtera Orang Tua Jimah di Lukut, Negeri Sembilan, semalam.
SEDA Malaysia dalam kenyataan berkata program tersebut merupakan satu daripada aktiviti di bawah inisiatif tanggungjawab social korporat (CSR) agensi itu, bertujuan membantu komuniti dan kumpulan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 belum reda.
Pada majlis tersebut, Ahli Lembaga SEDA Malaysia SJ Usha Nandhini menyerahkan sumbangan berupa kelengkapan elektrik, bahan bacaan, bekalan makanan kering dan keperluan harian seperti lampin pakai buang dewasa dan bahan pencuci kepada pengerusi rumah kebajikan berkenaan M.Perumal.
“Kami berharap walaupun dalam bentuk yang kecil, sumbangan kami ini dapat membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik ini, termasuklah rumah-rumah kebajikan. Ia memerlukan komitmen dan usaha dari semua lapisan masyarakat dan kita semua bersama-sama dalam situasi ini,” kata Usha Nandhini.
Sementara itu, SEDA Malaysia, diwakili Ahli Lembaga Datuk Hang Tuah Din @ Mohamed Din turut menyumbang barangan keperluan asas kepada petugas barisan hadapan sebagai penghargaan atas dedikasi berterusan dan kerja kuat mereka dalam menangani wabak COVID-19 di beberapa daerah di Perak. Sumbangan adalah dalam bentuk pek makanan, air mineral, kit pelitup muka dan bendera Malaysia.
Sumber –BERNAMA