PUTRAJAYA: Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035 yang dilancarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bertujuan meningkatkan kapasiti campuran Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam bekalan elektrik negara dan memenuhi komitmen perubahan iklim.
Beliau berkata, ia juga dapat menyediakan hampir 47,000 peluang pekerjaan langsung dalam bidang TBB.
Katanya, MyRER juga mengunjurkan kapasiti TBB pada 2025 akan meningkat sebanyak 4,466 megawatt (MW) kepada 12,916 MW berbanding kapasiti 2020 iaitu 8,450 MW.
“MyRER disediakan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) yang antara lain memperincikan perancangan pembangunan TBB negara dan laluan terbaik untuk peralihan ke arah sistem tenaga rendah karbon,” katanya pada majlis pelancaran MyRER di sini, hari ini.
MyRER menggariskan empat tonggak berasaskan teknologi iaitu solar, biotenaga, hidro dan sumber baharu.
Empat inisiatif pemangkin ini seperti memanfaatkan peluang dalam pasaran bekalan elektrik, menambah baik akses kepada pembiayaan, pembentukan modal insan dan pembangunan infrastruktur serta peningkatan keanjalan sistem grid pembekalan elektrik.
Takiyuddin berkata, unjuran kapasiti TBB pada 2035 pula akan terus meningkat 9,546 MW kepada 17,996 MW.
Beliau berkata, pengunjuran kapasiti TBB ini mampu mengurangkan intensiti pelepasan karbon bagi sektor pembekalan elektrik sebanyak 45 peratus pada 2030 dan 60 peratus pada 2035.
Katanya, sasaran peningkatan kapasiti TBB ini adalah komitmen kementerian dalam menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih seawal 2050 dan menyumbang kepada komitmen perubahan iklim negara bawah Perjanjian Paris.
“MyRER juga menyediakan panduan kepada pemain industri mengenai hala tuju pembangunan TBB mengikut kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kerangka strategik bagi pembangunan sumber TBB,” katanya.