Lanjutan daripada pengumuman bertarikh 5 Oktober 2020 oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) berhubung pemberian kuota di bawah skim Net Energy Metering (NEM) berdasarkan offset one-to-one (NEM 2.0), SEDA Malaysia selaku agensi pelaksana skim NEM 2.0 ingin memaklumkan bahawa tarikh akhir bagi mengemukakan permohonan NEM 2.0 adalah pada 31 Disember 2020 atau sehingga jumlah kuota 500MW yang diperuntukkan diagihkan sepenuhnya, yang mana terdahulu.
Pemohon yang berminat perlulah mengemukakan permohonan yang lengkap beserta bayaran kepada SEDA Malaysia sebelum atau pada 31 Disember 2020 melalui sistem eNEM. Jika permohonan yang dikemukakan didapati tidak lengkap dan tidak mematuhi mana-mana keperluan atau syarat yang telah ditetapkan di dalam garis panduan NEM, ianya akan menyebabkan permohonan ditolak dan sebarang rayuan tidak akan dilayan. Antara sebab-sebab yang boleh menyebabkan sesuatu permohonan NEM ditolak adalah seperti berikut:
- Maklumat atau dokumen yang dikemukakan tidak lengkap atau terdapat kesilapan;
- Semakan oleh pihak TNB mendapati akaun yang dipohon berstatus seperti di bawah:
- Bayaran bil tertunggak;
- Kes meter tampering;
- Pemohon di bawah skim multi/Landlord-tenant properties; dan
- Tiada kelulusan NEM Assessment Study (NEMAS) oleh pihak TNB*.
Nota Penting/Tambahan
*Bagi permohonan NEM yang berkapasiti melebihi 72kWac, kelulusan NEMAS daripada pihak TNB adalah diperlukan sebelum permohonan NEM dikemukakan kepada SEDA Malaysia. Justeru itu, pemohon adalah dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan NEMAS kepada pihak TNB secepat mungkin bagi memastikan kelulusan NEMAS dapat diperolehi dalam tempoh yang ditetapkan.