YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli
Anggota Pihak Berkuasa
YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli telah dilantik sebagai Anggota Pihak Berkuasa bagi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada 1 Februari 2024. Beliau kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Dengan tempoh perkhidmatan selama 29 tahun di dalam sektor perkhidmatan awam, beliau terlibat secara aktif menyumbang kepada sektor awam dan swasta di peringkat antarabangsa dan domestik. Beliau juga terus memberi impak kepada komuniti melalui pelbagai tugasan dan jawatan yang dipegang oleh beliau.
Beliau memulakan kerjaya beliau dengan Kerajaan Malaysia bermula pada tahun 1995, dan YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi mempunyai pengalaman luas di dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, sains dan teknologi, alam sekitar, tenaga, air dan perancangan strategik sepanjang kerjayanya.
Dari tahun 2009 sehingga 2011, beliau meluaskan skop kerja beliau dengan menyertai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan menawarkan khidmat beliau di dalam pembangunan perniagaan strategik, khidmat nasihat dan kepakaran teknikal. Pengalaman ini memperkaya latar belakang profesional beliau di dalam sektor awam dan swasta, serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran beliau.
Selain itu, YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi turut memegang jawatan-jawatan penting di dalam pelbagai jawatankuasa dan organisasi global di mana beliau memperjuangkan kepentingan Malaysia di dalam bidang masing-masing selain terlibat secara aktif di dalam aktiviti-aktiviti sosial dan komuniti.
YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi berkelulusan Ijazah Sarjana di dalam bidang Pengurusan Teknologi (Alam Sekitar) dari Imperial College, University of London, United Kingdom. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Alam Sekitar (Kepujian) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).