YBrs. Dr Nurmazilah Dato’ Mahzan
Anggota Pihak Berkuasa
YBrs. Dr Nurmazilah Dato’ Mahzan telah dilantik sebagai Anggota Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada 15 Jun 2023.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengajian PhD dalam Perakaunan dari Universiti Birmingham, United Kingdom. YBrs. Dr. Nurmazilah merupakan ahli MIA, MICPA, CPA ASEAN dan felo CGMA. Beliau juga merupakan Juruanalisa ESG bertauliah, Akauntan Awam bertauliah dan Juruaudit Dalaman Bertauliah dengan kelayakan Pengurusan Risiko dan Jaminan Kualiti.
Mempunyai lebih daripada 30 tahun pengalaman di dalam pelbagai organisasi, YBrs. Dr. Nurmazilah Dato’ Mahzan merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia (MIA). Di MIA, beliau mengetuai dan melaksanakan transformasi sistem pengurusan, penggunaan teknologi, peningkatan tadbir urus dan penjenamaan.
YBrs. Dr. Nurmazilah turut memainkan peranan aktif di dalam Persekutuan Akauntan Antarabangsa, Lembaga Rangka Kerja Pelaporan Bersepadu Antarabangsa, dan Persekutuan Akauntan ASEAN. Selain itu, beliau mengetuai pelaksanaan beberapa projek, termasuk Rangka Tindakan (Blueprint) Teknologi Digital, Profesion Perakaunan yang Relevan pada Masa Depan (FRAP), dan program-program kesedaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Beliau juga menyelia fungsi-fungsi pengawalseliaan pengauditan dan perakaunan, termasuk semakan penyata kewangan, kualiti audit dan etika profesional. Beliau juga terlibat di dalam perbincangan topik berkaitan ESG di peringkat tempatan dan antarabangsa, yang mendedahkan beliau kepada pelbagai dasar-dasar berkaitan ESG.
Sebelum menerajui MIA, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan di Universiti Malaya, Pengurus Akaun Korporat KUB Malaysia Berhad dan Juru audit Kanan Arthur Andersen &Co. Pengalaman korporat beliau yang luas meliputi pelbagai industri, termasuk pembangunan dan pembinaan hartanah, perbankan, amanah saham, perdagangan dan pembuatan. YBrs. Dr. Nurmazilah merupakan ahli Majlis MIA, ahli Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia, ahli Lembaga Gabenor bagi Institut Juruaudit Dalaman, ahli Majlis Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Bendahari bagi Persatuan Ekonomi Malaysia. Beliau juga berkhidmat di dalam pelbagai jawatankuasa MIA dan MICPA.
Buat masa ini, YBrs. Dr. Nurmazilah merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di CIMB Bank Berhad, TH Plantations Berhad dan Ahli Majlis Pelaporan Bersepadu dan Keterhubungan IFRS (sebelum ini Lembaga Rangka Kerja IR). Beliau juga turut melaksanakan program latihan melibatkan pengarah dan pengurusan kanan mengenai bidang berkaitan tadbir urus, pelaporan korporat dan kelestarian.