Sejak penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 1 September 2011, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi pelaksanaan program tenaga boleh baharu (TBB), selain membabitkan usaha menggalakkan inisiatif cekap tenaga.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi menggalak, merangsang, dan membangunkan tenaga lestari, SEDA Malaysia telah berjaya memenuhi aspirasi nasional dengan memperluaskan penggunaan tenaga lestari sekali gus memperlihatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Segala hasil kerja dan perancangan SEDA Malaysia bukan sahaja menunjukkan sumbangan besar kepada alam sekitar, bahkan ia memberi nilai tambah kepada kemajuan industri tenaga lestari.
Pada 30 Disember 2021, KeTSA melalui SEDA Malaysia telah melancarkan Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) 2035 bagi mewujudkan sektor tenaga yang rendah karbon. MyRER 2035 mengunjurkan kapasiti campuran TBB dalam bekalan elektrik negara adalah sebanyak 31% pada 2025, dan 40% pada 2035.
Pengunjuran kapasiti TBB ini dapat menyumbang kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45% pada 2030 seperti yang ditetapkan dalam Nationally Determined Contributions (NDC).
Dengan pendekatan ini, sumbangan SEDA Malaysia dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan nilai pelaburan sebanyak RM19.93 bilion pada tahun 2025 serta dapat menyediakan sejumlah 28,416 peluang pekerjaan dalam bidang TBB pada tahun 2025.
SEDA Malaysia berperanan penting apabila menjadi agensi pelaksana bagi pelbagai program yang diperkenalkan oleh kerajaan, antaranya adalah Mekanisme Tarif Galakan (FiT) yang bertujuan memangkin pembangunan industri TBB di Malaysia sekali gus membolehkan manfaat pelaburan jangka panjang. Setakat Disember 2021, kapasiti keseluruhan projek yang sedang beroperasi adalah sebanyak 596.71 Megawatt (MW).
Selain itu, Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) juga telah diperkenalkan pada November 2016 bertujuan untuk menggalakkan penggunaan sumber TBB, tenaga suria secara khususnya. Program NEM 2.0 kemudiannya diperkenalkan pada 1 Januari 2019 dengan kuota sebanyak 500MW.
Program NEM 3.0 pula telah dilancarkan pada 29 Disember 2020 dengan tiga kategori iaitu NEM Rakyat, NEM GoMEn dan NOVA. Sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 294.28MW kuota telah diluluskan.
Pada tahun lalu, SEDA Malaysia telah dilantik sebagai pelaksana program ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE) 2.0. Program SAVE2.0 adalah program pemberian rebat RM200 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga bertaraf 4 atau 5 bintang.
Hasil daripada program itu telah merekodkan penjimatan bil elektrik sebanyak RM21.8 juta dengan pengurangan sebanyak 38.3 kilo tan pelepasan karbon dioksida dicatatkan.
Program ini kemudian diteruskan dengan SAVE 3.0 pada tahun 2022 dengan lebih banyak peralatan elektrik cekap tenaga, ini termasuklah penyaman udara, peti sejuk, mesin basuh, televisyen, periuk elektrik dan ketuhar gelombang mikro.
Selain itu, melalui Program Penilaian dan Program Pensijilan Prestasi Bangunan Rendah Karbon-GreenPASS, sebanyak 135 permohonan bangunan di Malaysia telah menerima kelulusan dengan jumlah penjimatan tenaga sebanyak 1,218.8 GWJ, bersamaan dengan 84,173 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida.
Kejayaan SEDA Malaysia turut dilakar bagi program latihan berasaskan TBB dan kecekapan tenaga. SEDA Malaysia telah berjaya menganjurkan latihan kepada lebih 5,000 peserta, sepanjang tahun 2011 hingga 2021.
Walaupun mengalami pelbagai cabaran dalam usaha untuk membangunkan TBB secara menyeluruh, antaranya penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun yang lalu, usaha SEDA Malaysia untuk mempertingkat peralihan tenaga bagi menangani perubahan iklim dan isu pelepasan gas rumah hijau tidak pernah terhenti bagi menjamin rakyat dapat menikmati kehidupan lestari.
Sebagai langkah pemulihan pasca Covid-19, SEDA Malaysia yakin mampu menyumbang secara berkesan kepada pertumbuhan ekonomi, jaminan tenaga dan kelestarian alam sekitar serta terus memainkan peranan lebih penting untuk membentuk masa depan tenaga di negara ini.
Source: Sinar Harian